Pages

Friday, November 27, 2009

ROTAN PELAJAR


Ibu bapa patut benarkan anak dirotan di sekolah untuk mengatasi masalah disiplin.

Sebagai seorang guru, saya sokong langkah ini namun biarlah hukuman rotan itu setimpal dengan kesalahan pelajar seperti merokok, ponteng sekolah, ponteng kelas, buli atau peras ugut. Kesalahan-kesalahan lain seperti tidak bawa buku, tidak siapkan kerja rumah, bercakap dengan kawan merupakan kesalahan yang tidak wajar mendapat hukuman rotan.

Kebanyakan ibu bapa pada hari ini terlalu sibuk dengan kerja malah ada di antara mereka yang menjadikan sekolah sebagai "nursery" (hantar 7.00 pagi, ambil 7.00 petang). Masa berkualiti dengan anak-anak terlalu sedikit dan tidak memungkinkan mereka sempat memantau dan mendidik anak-anak mereka. Jadi, sewajarnya ibu bapa memberikan kepercayaan kepada pihak sekolah untuk membentuk anak mereka agar menjadi orang selagi tidak memudaratkan diri pelajar tersebut. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu pula memelihara kepercayaan yang telah diberikan oleh para ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.

Sesetengah ibu bapa tidak bersetuju hukuman rotan dijalankan di sekolah. Ibu bapa yang sebegini selalunya beranggapan anak mereka tidak pernah membuat kesalahan lantaran tertipu dengan lakonan anak-anak mereka. Maksud saya, semasa di hadapan mereka, anak-anak menunjukkan kebaikan yang melampau tetapi apabila berada di sekolah anak tersebut akan mempertontonkan kejahatan yang terlampau. Senario sebegini sering berlaku. Untuk itu, jika ada ibu bapa yang tidak mahu anak dirotan, maka tanggungjawab mereka untuk sentiasa memantau anak sendiri dan jangan sekal-kali berkata, "Saya nak anak saya menjadi orang yang berguna. Tak dapat A pun tak apa asalkan akhlak dan imannya terpelihara. Kalau dia buat salah, Cikgu dendalah. Nak rotan pun tak apa."